Tuesday, September 2, 2014

Ciri-Ciri Tamadun Islam

CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Tamadun Islam bersifat terbuka iaitu boleh menerima Tamadun asing selagi Tamadun tersebut tidak bercanggah dengan dasar-dasar Islam. Berikut merupakan ciri-ciri Tamadun Islam:

1. Berasaskan kepada ajaran al-Quran
Segala bentuk Tamadun samada dari segi kebendaan atau kerohanian tertakluk kepada ajaran al-Quran. Hal ini kerana al-Quran merupakan sumber ajaran Islam yang utama dan perlembagaan hidup yang syumul dalam menjamin kesejahteraan alam sejagat. Dengan ajaran Al-Quranlah terbinanya kecemerlangan dan kegemilangan Tamadun Islam dalam beberapa abad yang lampau.

2. Berteraskan Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan
Islam amat menitik beratkan ilmu. Ilmu merupakan tonggak kesempurnaan iman dan ketaqwaan. Ini jelas diperkatakan oleh al-Quran maksudnya :-

“Sesungguhnya setakut-takut hamba (manusia)kepada Allah ialah para ulamak” Fathir :28

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengenai kepentingan ilmu pengetahuan dalam membina
kemajuan agama dan Tamadun sebagaimana sabdanya yang bermaksud :-

Sesiapa yang inginkan dunia hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang inginkan akhirat
hendaklah dia berilmu dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dia berilmu

Hasil dari gesaan inilah lahirnya ilmuan-ilmuan Islam yang mahir dalam semua bidang dan sama-sama membangunkan Tamadun yang murni berasaskan ketaqwaan kepada pencipta Alam (Allah).

3. Penggunaan Tulisan
Kejahilan manusia dapat dihapuskan melalui penulisan. Oleh itu al-Quran telah memberi perhatian
utama mengenai penulisan ini di mana ayat yang pertama yang diturunkan adalah perintah supaya
manusia membaca dan menerangkan juga bahawa Allah mengajar manusia melalui perantaraan pena. (Lihat Surah al-‘Alaq:1)

4. Gabungan antara Aspek rohani dan Jasmani
Keamanan dan kesejahteraan insan itu berkait rapat dengan keperibadian yang tinggi dan pekerti yang mulia. Kemajuan dan pembangunan serta kemewahan adalah bersifat kebendaan semata-mata. Itu semua tidak bermakna sekiranya tidak disepadukan dengan pembangunan rohani insan. Contoh terbaik adalah kegagalan dari kemajuan Barat pada hari ini bahkan juga negara-negara Islam juga berpunca daripada Tamadun dan pembangunan manusia yang hanya bersifat kebendaan semata-mata tanpa diikuti dengan pembangunan rohani.

5. Masyarakat Majmuk (Multy National)
Dalam Islam, sentimen perkauman dan ras keturunan amatlah ditolak sama sekali. Semua bangsa yang memeluk Islam dianggap sebagai masyarakat Islam dan mereka berperanan dalam membangunkan Tamadun di wilayah yang mereka diami seperti Istana Al-Hambra di Sepanyol dan Taj Mahal di Agra India. Begitu juga dengan aspek-aspek lain terutamanya penulisan buku, penterjemahan dan lain-lain lagi yang akan kita pelajari dalam bidang-bidangnya yang tertentu.

6. Sejagat /universal / 'alamiyah
Kesejagatan tamadun Islam bermakna ia tidak terikat kepada bangsa tertentu, sebaliknya seluruh umat manusia yang berpegang kepada al-Din.

7. Terbuka.
Keterbukaan bermakna tamadun Islam yang dilahirkan dan dicipta itu tidak dibatasi oleh had-had tertentu tetapi masih diletakkan di atas garis panduan syariat Islam yang tetap dan berkembang selaras dengan perubahan masa. Tamadun Islam terbuka kepada semua Tamadun yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. 

8. Sepanjang zaman
Iaitu berkesinambungan dan mengalami proses kesinambungan hingga masa kini. Perkembangannya bermula dengan turunnya wahyu pertama, Surah Al-‘Alaq dan tidak pernah berhenti sehingga hari kiamat.

9. Toleransi. 
Tamadun Islam pernah berkembang dalam dunia yang tidak dikenali , tetapi tetap mempertahankan toleransi. Masyarakat buka Islam yang berada dalam pentadbiran dan perkembangan tamadun Islam tidak dilarang untuk mengamalkan agama dan kepercayaan mereka. Ini sebagai usaha untuk mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat dan kepentingan kestabilan. 

10. Rabbani.
Sebarang bentuk kemajuan dan pencapaian dalam tamadun Islam,dan dalam pelbagai bidang semuanya di bawah kesatuan akidah Islam yang menjurus kearah meng-Esakan Tuhan, Allah Pencipta Sekalian Alam. Penemuan dan hasil ciptaan baru yang dicapai dalam tamadun manusia semuanya dikembalikan kepada kebesaran dan keagungan Tuhan Pencipta seluruh Alam.

Ciri-ciri Tamadun Dunia
Pada tahap paling minimum, kandungan tamadun sekurang-kurangnya terdiri daripada 6 ciri asas iaitu:

a) mempunyai kehidupan dibandar
b) mempunyai pemerintahan dan kerajaan
c) mempunyai bahasa dan tulisan
d) mempunyai sistem perundangan
e) mempunyai agama dan sistem kepercayaan
f) mempunyai pengkhususan dalam pekerjaan

Keistimewaan tamadun Islam yang lain:

Di antara ciri-ciri keistimewaan utama Tamadun Islam ialah 

Menyeluruh (sempurna). 
Islam meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah undang-undang (syariah), akidah, akhlak, hubungan dengan Allah S.W.T dan hubungan sesama manusia. 

Keadilan.
Ia juga menekankan keadilan untuk semua insan, sama ada Islam atau bukan Islam, kawan atau lawan dan sama ada mempunyai hubungan keluarga atau sebaliknya. Dalam bidang kehakiman, tamadun Islam telah terbukti dapat mengembalikan hak kepada yang berhak, sebagaimana dalam sejarah.

Sesuai di semua tempat
Tamadun Islam bersesuaian dengan semua orang setiap masa dan tempat kerana ciri umumnya yang bersifat sejagat dan terbuka.

Tetap dan anjal
Agama Islam juga mempunyai ciri yang bersifat tetap dan anjal. Ini bermakna Islam merupakan suatu yang tetap dan tidak berubah dari segi tujuan dan matlamat pembinaan tmadun manusia,tetapi anjal dari sudut cara dan teknik perlaksannanya. 

Ideal dan realistik
Ciri utama Islam yang berikutnya adalah ideal dan realistic. Islam sentiasa menekankan dan meletakkan manusia di tingkat kesempurnaan yang paling tinggi dan dapat dicapai, dengan mengawasi seluruh kegiatan manusia agar tidak bercanggah dengan jaran Allah S.W.T.


************************
Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau, Perlis, MALAYSIA
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
Email: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com



No comments:

Post a Comment